Saturday, July 31, 2010
TIP PUASA
UNTUK MEMBESAR NOTA,KLIK dan ZOOM,insyaAllah boleh dibaca.
AIR suam adalah penghilang dahaga terbaik ketika berbuka kerana tidak 'mengejutkan' perut yang kosong selepas lebih 12 jam berlapar.
--------------------------------------------------------------------------------
Berpuasa bukan sahaja membenarkan tubuh mengalami 'penyelarasan' semula tetapi juga pengalaman yang mencabar.
Mencabar dari segi minda dan juga fizikal, godaan makanan di mana-mana sahaja terpaksa ditepis. Dalam puasa yang melebihi 12 jam sehari, rasa haus pasti membuatkan ramai akan meneguk air sejuk sebaik sahaja tiba waktu berbuka.
Malah, lambakan minuman sejuk atau berais yang ditemui di bazar-bazar Ramadan juga meningkatkan lagi nafsu selera. Persoalannya, tidakkah terlintas di fikiran sama ada pengambilan minuman sejuk pada awal berbuka puasa itu baik?
Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Kementerian Kesihatan Malaysia, Norlaily Md. Nasir yang dihubungi Kosmo! baru-baru ini berkata, pengambilan minuman sejuk atau berais tidak digalakkan sama sekali sejurus selepas mengambil kurma.
BUAH-BUAHAN adalah sumber serat dan vitamin terbaik.
--------------------------------------------------------------------------------
Menurut Norlaily, air sejuk membuatkan badan tidak dapat 'menyesuaikan diri' dengan suhu yang terlalu rendah ini.
"Suhu normal badan kita ialah sekitar 37 darjah Celcius. Apabila kita mengambil minuman bersuhu terlalu rendah seperti air sejuk atau berais, maka sistem tubuh kita akan terganggu dan ini tidak baik untuk kesihatan.
"Sebaliknya, berbukalah dengan segelas air suam dan kurma kerana suhunya yang tidak terlalu rendah atau tinggi boleh diadaptasi oleh tubuh. Jika bertegas hendak mengambil minuman sejuk juga, minumlah selepas hidangan berbuka atau setelah selesai makan nasi," katanya.
Dalam mengerjakan ibadah puasa, mungkin ada yang tertanya-tanya apakah terdapat urutan zat makanan yang patut didahulukan?
Misalnya, dahulukan pengambilan makanan berkarbohidrat, berserat atau penuh dengan vitamin C?
--------------------------------------------------------------------------------
Sebaliknya, Norlaily memberitahu, tiada urutan zat yang perlu didahulukan.
"Cuma apa yang perlu dilakukan adalah dengan mengambil makanan yang ringan dahulu iaitu seperti mana yang disunahkan Rasulullah iaitu mulakan berbuka dengan memakan kurma dan meminum segelas air.
"Setelah memakan kurma, bolehlah mengambil sup berasaskan sayur atau daging, ayam atau tulang untuk memberikan kandungan air kepada badan. Kemudian, barulah mengambil nasi dan hidangan lain. Sup juga boleh diambil bersama dengan nasi ketika berbuka puasa," jelasnya lanjut.
AMBIL minuman sejuk selepas menikmati sajian utama seperti nasi.
--------------------------------------------------------------------------------
PENGAMBILAN makanan yang tidak terlalu berat dapat mengelakkan perut daripada senak.
Berbuka dengan kurma seperti yang diketahui adalah pilihan makanan kaya serat yang tepat. Jelas Norlaily lagi, pengambilan serat sepanjang bulan puasa penting kerana serat boleh melambatkan proses lapar.
"Pengambilan makanan lain hanya boleh bertahan untuk tiga hingga empat jam, manakala makanan berserat pula boleh bertahan sehingga lapan jam.
"Tambahan pula, ia turut membantu melancarkan proses perkumuhan. Antara makanan yang kaya serat termasuk bijirin, oat, barli, buah-buahan (contohnya pisang, betik) dan juga sayur-sayuran. Jadi, umat Islam bolehlah mengambil makanan yang disebut tadi sewaktu berbuka atau bersahur," katanya.
Menyentuh tentang pengambilan makanan berat, Norlaily menegaskan amalan pemakanan berlebihan tidak sekali-kali digalakkan pada bulan puasa.
"Islam sendiri menggariskan sikap bersederhana sepanjang kita menjalani ibadah puasa. Dalam diet pula, kita perlu menerapkan amalan pengambilan makanan sihat dan seimbang dengan bersederhana.
"Pemakanan yang berlebihan akan meningkatkan risiko seseorang untuk menghidap obesiti dan penyakit kardiovaskular lain seperti penyakit jantung, lebih-lebih lagi bagi makanan yang mengandungi lemak dan tinggi kolesterol," tambahnya.
Bulan Ramadan dilihat sebagai 'platform' untuk mendisiplinkan diri agar bersederhana dalam pengambilan makanan.
KIRIMAN:
3@pendekarblogger.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment