Petua Menghilangkan Kesan Gigitan Nyamuk
Campurkan 1 sudu makan garam dengan 2 sudu makan air, jangan biarkan garam terlarut. Sentalkan garam yang basah dibahagian yang terkena gigitan. Rasa gatal akan hilang bersama kesan gigitan.
Petua Menurunkan Tekanan Darah Tinggi
Di sini terdapat beberapa petua dari beberapa artikel mengenai cara untuk menurunkan darah tinggi terutamanya kepada golongan yang sudah berusia. Berikut adalah beberapa petua yang boleh diamalkan.
- Minum air rebusan taugeh seminggu sekali. Air dan taugeh hendaklah sama banyak nisbahnya.
- Rebus beberapa helai daun pandan wangi dengan dua gelas air. Biarkan hingga tinggal setengah gelas sahaja. Amalkan minum setiap pagi dan petang.
- Makan 3 ulas bawang putih mentah. Jika tidak tahan baunya, bolehlah direbus.
- Parut kunyit sebesar ibu jari. Perah airnya dan tambah dua sudu madu. Minum ramuan ini setiap pagi dan petang.
- Makan biji buah Peria.
- Minum air rebusan pokok Hempedu Bumi Pokok Cerita.
- Minum air rebusan daun Pokok Ati-ati.
- Jadikan pucuk Pokok Pala sebagai ulaman.
- Minum air rebusan Pokok Dukung Anak.
Sebagai tambahan untuk ibu-ibu yang mengandung yang mengalami tekanan darah tinggi, minumlah air kembang semangkuk atau biji selasih campur dengan air suam atau air sirap. InsyaAllah tekanan darah menurun.
Petua Merawat Darah Tinggi
Ambil beberapa ulas bawang putih dan kulitnya. Kisar bawang putih tadi hingga halus untuk mendapatkan pati bawang putih. Ambil 6 titik pati bawang putih dan dicampur dengan segelas air kosong. Amalkan minum air tersebut 3 kali sehari.
Petua Memutih & Menguatkan Gigi – Halia
Ambil sepotong halia dan sesudu garam kasar, tumbuk sehingga lumat. Tambahkan sedikit air dan bancuh hingga sebati. Kumur dengan air bancuhan ini setiap kali selepas menggosok gigi sebelum masuk tidur.
Amalakan setiap hari. Gigi anda bukan sahaja akan putih dan kuat malah mulut anda akan berbau wangi.
Petua Hilangkan Jerawat – Susu tepung
Bancuh sesudu susu tepung dengan sedikit air. Tepek pada keseluruhan muka setiap malam. Setelah kering, bilas dengan air suam. Amalkan setiap hari.
Petua Elak Muka Berjerawat
Berikut adalah petua-petua yang boleh diamalkan untuk mengelakkan muka dari ditumbuhi jerawat.
1) Ambil beberapa helai daun jambu batu dan giling hingga halus. Campurkan bersama bedak sejuk dan tepek pada muka sebelum masuk tidur. Amalkan selalu.
2) Ambil beberapa helai daun sirih dan tumbuk bersama beras hingga lumat. Campurkan dengan sedikit ait dan tepek pada muka sebelum masuk tidur. Amalkan selalu.
Petua Hilangkan Jerawat – Beras dan inai
Giling segenggam beras bersama segenggam daun inai hingga lumat. Bulat-bulatkan adunan sebesar duit syiling 5 sen dan jemur hingga kering. Simpan dalam bekas kedap udara. Apabila hendak menggunakannya, titis beberapa titik jus limau nipis dan sapukan pada keseluruhan muka dengan menggunakan belahan kentang. Amalkan dua kali seminggu.
Petua Hilangkan Jerawat – Asam gelugur
Rendam beberapa keping asam gelugur (dikenali juga sebagai asam keping) selama satu malam. Tumbuk beberapa helai daun pucuk jambu batu hingga halus. Campurkan kedua-dua bahan dan sapukan pada keseluruhan muka. Amalkan dua kali seminggu.
Petua Hilangkan Jerawat – Kulit kayu manis
Asah sedikit kulit kayu manis atau ambil sedikit serbuk kayu manis dan campurkan dengan sedikit madu. Jadikan masker sebelum masuk tidur. Bilas dengan air bersih pada keesokan paginya. Amalkan tiga kali seminggu
Petua Mengekalkan Warna Pakaian
Baju berwarna terutama yang berwarna gelap dan pastel mudah luntur. Untuk mengekalkan warna pakaian anda, cubalah petua ini.
Ambil dua biji kentang, kupas kulitnya dan rebus. Lenyek kentang tersebut dengan sedikit garam dan sedikit cuka. Lumur keseluruhan pakaian anda dengan campuran tersebut. Biarkan selama setengah jam dan kemudian cuci dengan sabun atau detergen seperti biasa dan jemur hingga kering
Petua Hilangkan Kesan Dakwat pada Pakaian
Memang sukar menghilangkan kesan dakwat pen pada pakaian jika anda tidak tahu cara yang betul membersikannya. Cuba mana-mana petua ini untuk menanggalkan kesan degil dakwat pada pakaian.
1) Bancuh pekat 3 sudu susu dengan sedikit air. Sapukan bancuhan susu ini pada kesan dakwat selama setengah jam. Kemudian cuci dengan sabun atau detergen seperti biasa dan jemur hingga kering.
2) Titiskan cuka ke atas kesan dakwat tersebut. Biarkan selama 5 minit dan kemudian ngenyeh-ngenyeh dengan tangan untuk mengeluarkan dakwat tersebut. Ulang beberapa kali hingga kesan dakwat hilang. Kemudian cuci dengan sabun atau detergen seperti biasa dan jemur hingga kering.
3) Tabur sedikit garam halus pada permukaan kesan dakwat. Titiskan limau nipis ke atas lapisan garan itu. Biarkan selama 5 minit dan kemudian ngenyeh-ngenyeh dengan tangan untuk mengeluarkan dakwat tersebut. Ulang beberapa kali hingga kesan dakwat hilang. Kemudian cuci dengan sabun atau detergen seperti biasa dan jemur hingga kering.
4) Semburkan penyembur rambut pada kesan dakwat. Biarkan kering seketika. Kemudian bilas dengan air yang dicampur dengan sedikit cuka. Cuci dengan sabun atau detergen seperti biasa, berus kesan dakwat dengan berus kain, bilas dan jemur hingga kering.
Petua Hilangkan Tahi Lalat Pada Pakaian
Pakaian yang bertahi lalat memang sukar untuk dibersihkan dengan sabun atau detergen pencuci pakaian. Jangan putus asa. Sebelum anda buang pakaian tersebut, cuba dulu petua ini.
Campurkan secawan cuka dengan setengah baldi air. Rendam pakaian yang bertahi lalat kedalam air cuka tersebut semalaman. Keesokannya cuci dengan sabun atau detergen seperti biasa dan jemur hingga kering.
Petua Warna Kain Batik Tidak Luntur
Seringkali kain batik yang baru dibeli luntur warna semasa dibasuh. Untuk mengelakkan kain batik luntur warna, cubalah salah satu petua di bawah ini:
1) Rendam kain batik baru ke dalam air teh selama setengah jam. Kemudian bilas dengan air bersih dan jemur hingga kering.
2) Ambil beberapa helai daun betik dan ramas sehingga hancur ke dalam sebaldi air. Tapis air tersebut dan buang hampas daun betik. Rendam kain batik baru ke dalam air tersebut selama setengah jam. Kemudian jemur hingga kering.
Petua Hindar Bulu Ketiak Tumbuh
Terdapat pelbagai cara tradisional boleh diamalkan untuk menghalang bulu ketiak tumbuh. Antara yang paling murah, mudah dan berkesan ialah menggunakan kapur sirih dan kunyit hidup.
Selepas mencabut semua bulu ketiak, celupkan ibu kunyit ke dalam kapur sirih dan gosokkannya hingga rata selama beberapa minit. Kemudian bilas dengan air bersih. Lakukannya beberapa kali sehingga masalah itu selesai. Petua ini juga sangat bagus dilakukan oleh golongan remaja yang masih belum tumbuh bulu ketiak.
Petua Memutihkan Ketiak Hitam – Limau nipis & kapur
Ambil sebiji limau nipis dan perah jusnya. Campurkan jus tadi dengan sedikit kapur sirih. Sapukan di bawah ketiak dan biarkan selama 15 minit. Bilas dengan air bersih. Amalkan 3 kali seminggu.
KIRIMAN:
3@pendekarblogger.com
(newsfowarder)
Saturday, July 31, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment