Assalamualaikum.
Sebaik sahaja selesai diijab kabul, secara rasmi kita menjadi milik MERTUA. Kalau dulu ANAKnya hanya sebagai kekasih, tetapi kini sebagai suami/isteri yang sah. Namun kita sebenarnya bukanlah hanya berkahwin dengan ANAKnya, bahkan juga seluruh anggota keluarganya iaitu semua IPAR.
Bagi yang sudah biasa bertemu dengan mertua sebelum berkahwin, tentu tidak menjadi soal. Bagaimana bagi yang tidak pernah bertentang mata dengan keluarga mertua? Pasti diselubungi rasa bimbang, apatah lagi bila memikirkan cara untuk menyesuaikan diri dengan mertua.Bagi menangani masalah tersebut, pastikan anda menyiapkan diri dengan beberapa tips yang diberikan.
Persediaan diri sebenarnya bukan hanya bermula selepas sah bergelar suami/isteri, seeloknya sedari awal pertunangan lagi. Kalau kena gaya dan caranya, tidak mustahil anda akan jadi menantu kesayangan.
1. Sebaik sahaja anda sah sebagai tunang, mulakan berkenal dengan AHLI keluarga mertua. Andai tinggal berjauhan, hubungilah mereka melalui telefon sekadar untuk bertanya khabar. Jika duduk berhampiran, cuba sesekali luangkan waktu berkunjung ke rumahnya.
2. Ketika berkunjung, bawalah buah tangan bersama. Sekurang-kurangnya dengan membawa kuih ataupun buah-buahan. Tetapi lebih elok jika anda membawa sesuatu yang boleh dibuat cenderahati. Misalnya dengan memberikan sepasang kain sebagai tanda kenangan.(JANGAN KO BERIKAN SENAPANG PULAK)
3. Kenali sikap sebenar mertua anda. Tanya kepada pasangan anda, apa yang disukai dan dibenci oleh mertua. Jika anda tahu apa yang disukai dan dibenci, secara tidak langsung ini boleh memberikan persediaan ketika sudah menjadi ahli keluarganya kelak.
4. Setelah berkahwin, jangan sesekali anda memarahi anaknya dihadapan mereka. Keadaan ini memberikan gambaran sebenar sikap anda terhadap anak mereka. Situasi ini mungkin akan menimbulkan kebencian dihati mertua.
5. Setiap kali bertandang, cuba mengambil hatinya dengan bercerita tentang pengalaman lucu yang boleh menghiburkan hatinya. Jangan lupa bercerita dengan sepenuh perhatian agar dia tidak rasa jemu. Ingat, jangan pula anda bercerita sesuatu yang dianggap bodoh dan boleh memalukan diri sendiri.
6. Berkongsi minat dengannya. Kalau dia gemar bercucuk tanam, anda juga harus belajar bercucuk tanam. Kalau dia gemar memasak, tidak salah anda cuba belajar memasak daripadanya. Tunjukkan yang diri anda betul-betul berminat dengan apa yang disukai. Bagaimanapun anda dinasihatkan jangan belajar sambil lewa kerana mungkin dia beranggapan anda tidak serius.
7. Apabila tiba hari-hari penting seperti ketibaan Hari Ibu, Ulang Tahun Perkahwinan, Hari Bapa dan Hari Lahir, jangan lupa menelefon mengucapkan sesuatu. Lebih baik jika anda berkunjung ke rumahnya dengan membawa hadiah. Atau anda juga boleh membuat kejutan dengan mengadakan majlis untuk mereka.
8. Paling penting, jaga pertuturan anda. Jika sebelum ini anda seorang yang ‘mulut lepas’, anda dinasihatkan agar menjaga pertuturan anda. Kata orang, kerana mulut, badan binasa. Jadi berhati-hati ketika menuturkan sesuatu di hadapan mereka. Jangan sampai menyinggung perasaan keluarga mertua.
9. Setelah selesai majlis kenduri, pastikan anda ringan tulang membantu mengemaskan apa yang patut. Terutamanya jika kenduri dilakukan dengan memasak sendiri. Pasti banyak barang yang patut dibasuh seperti periuk,kuali, gelas atau pinggan mangkuk. Walaupun anda keletihan, tetapi cuba sibukkan diri dengan menolong apa yang patut. Tetapi jika majlis dilakukan secara katering, cubalah mengemas apa yang patut di dalam atau luar rumah.
10. Akhir sekali, cuba mengasihani keluarga mertua seperti anda menyayangi keluarga sendiri. Anggaplah mereka sebahagian daripada darah daging sendiri supaya hubungan akan bertambah mesra dan berkekalan hingga ke akhir hayat.Walaupun jika ditakdirkan anda tiada jodoh dengan anak mereka, pastikan anda sentiasa menghubungi sekadar bertanya khabar.
KIRIMAN:
fuzzy4er@yahoo.com
Ingatlah:
Setiap KELUARGA ialah institusi yang dipimpin KETUA KELUARGA iaitu bapa mertua dan diteraju MAJLIS KELUARGA iaitu adik-beradik isteri/suami. Ia bukan terbina/terjadi secara otomatis.
Tuesday, July 13, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment