Petua Kuruskan Badan Tanpa Ubat
1. JANGAN BERLAPAR/ BIARKAN PERUT KOSONG
Makanan adalah sumber tenaga. Apabila kita menggunakan tenaga lebih dari bekalan tenaga dari makanan yang kita ambil, tubuh akan terkejut. Tubuh akan mula membakar 'muscle'(otot) untuk menggantikan makanan. Ini menyebabkan kadar metabolisma tubuh menjadi rendah. Bila anda terlalu lapar, pada kebiasaannya anda akan mengambil makanan dengan lebih banyak. Pada masa ini, walaupun tahap pengambilan makanan anda telah kembali ke paras normal namun kadar metabolisma tubuh masih lagi rendah. Ini menyebabkan kalori tidak terbakar pada tahap yang sama lagi.
2. AMBIL SESUATU YANG PAHIT SEBELUM MAKAN
Minum kopi dan kumur beberapa saat sebelum makan. Cara ini menyebabkan tekak merasa pahit dan menghantar isyarat melalui otak bagi menggalakkan rembesan enzim dan asid HCL. Kekurangan enzim dan asid HCL di dalam perut boleh menyebabkan ketidaklancaran penghadaman.
3. MINUM 8 GELAS AIR KOSONG SEHARI
Air kosong mengurangkan selera makan anda secara semulajadi dan dapat membantu proses metabolisma bagi menyingkir simpanan lemak di dalam tubuh. Sebelum makan makanan yang berat, cubalah minum air kosong, pasti anda tidak akan makan dengan banyak.
4. ELAK MINUM MINUMAN BERKARBONAT
Minuman berkarbonat biasanya mengandungi 7-8 sudu gula dalam satu sajian dan tidak baik untuk kesihatan tubuh.
5. KURANGKAN PENGAMBILAN GARAM
Pengambilan garam yang tinggi menggalakkan penangkungan air. Mengurangkan pengambilan garam bermakna badan anda menangkung sedikit air. Ini bermakna anda kurang berat yang disebabkan air.
6. AMBIL SARAPAN PAGI
Anda juga boleh menurunkan berat badan dengan pengambilan sarapan pagi. Menurut satu kajian, mereka yang tidak mengambil sarapan pagi lebih cenderung untuk gemuk berbanding dengan mereka yang mengambilnya. Bagaimana ia terjadi? Sarapan pagi menstabilkan hormone dan paras gula di dalam darah. Kadar metabolsima juga meningkat untuk membakar kalori.
7. MAKAN PERLAHAN-LAHAN
Nikmatilah makanan dengan perlahan-lahan dan jangan gopoh. Kerana apabila kita makan secara perlahan-lahan, tubuh akan menghantar isyarat menunjukan kepuasan.
8. KUNYAH MAKANAN KEPADA CEBISAN LEBIH KECIL
Kunyahlah makanan kepada cebisan lebih kecil sebelum menelan kerana dengan cara ini ia lebih mudah dihadam.
9. MAKAN DENGAN KERAP
Biar makan kerap dengan kuantiti yang sedikit daripada makan hanya sekali, dua tetapi dengan kuantiti yang banyak.
10. CUCI MULUT
Jika anda terasa ingin makan snek atau makanan ringan, beruslah gigi anda atau kunyahlah gula- gula getah. Rasa mint atau berangin di mulut akan membantutkan selera anda.
11. PILIH MAKANAN BEREMPAH
Sesetengah rempah seperti cili, biji sawi, didapati boleh membakar kalori. Penambahan lada hitam bukan sahaja meningkatkan penghadaman, ia juga meningkatkan pembakaran lemak.
12. PILIH MAKANAN BERBIJIRIN/ BERKACANG
Pilih Lebih Banyak Bijirin dan Kekacang Dalam Makanan Bijirin penuh adalah sumber utama tenaga. Bijiran dan hasil bijirin banyak mengandungi karbohidrat kompleks, protein, vitamin, mineral dan sedikit lemak.
13. DIARI PEMAKANAN
Simpan Satu Diari Simpan satu diari makanan boleh berpengaruh besar dalam proses penurunan berat badan. Rekodkan dalam sehari, berapa kali anda makan dan berapa banyak, tahap kelaparan yang memerlukan anda makan, dan perasaan anda ketika makan. Diari makanan boleh membuatkan anda peka kepada keinginan makan anda. Setelah beberapa lama membuat catatan, perhati dan kenal pasti di mana anda boleh membuat atau perbaiki tabiat pemakanan anda kepada yang lebih sihat. Diari ini juga boleh membuatkan anda lebih fokus dan lebih komited terhadap pelan diet anda. Mulakan diari makanan anda dan rajin-rajinlah membuat catatan.
14. UTAMAKAN KESIHATAN
Tumpukan perhatian untuk sihat, bukan kurus Ramai orang lebih berjaya dalam penurunan berat badan dalam jangka masa panjang apabila mereka menukar motif mereka daripada untuk kurus kepada untuk kekal sihat dan segar. Tukarlah fikiran anda untuk memikirkan dan memilih makanan apa yang boleh menyihatkan tubuh badan.
15. CARA MASAKAN
Cara memasak paling baik untuk mengurangi jumlah kalori dalam makanan adalah merebus memanggang atau mengukus. Khusus untuk sayuran, anda boleh menumisnya dengan sedikit minyak(misalnya satu sudu minyak masak). Hindari minyak atau lemak haiwan.
16. PILIHAN PERKAKAS
Ketika memilih piring makanan, ambilah piring yang rata dan bukan piring cekung. Ambil sayuran dahulu untuk memenuhi piring, kemudian baru nasi dan yang terakhir, lauk dagingnya. Jika ingin tambah, hanya sayuran yang boleh anda ambil. Jangan lupa, makanlah di meja makan dan jangan di sembarang tempat apa lagi sambil menonton tv. Sebab, makin menarik program tv, semakin banyak makanan ringan yang anda habiskan!
17. TABIAT BERBELANJA
Khusus bagi kaum wanita, yang juga perlu diperhatikan adalah tabiat berbelanja dan memasak. Seelok-eloknya, tidak berbelanja semasa perut kosong. Rancanglah perbelanjaan sesuai dengan keperluan. Jika ingin membeli makanan, kunjungilah dahulu gerai buah dan sayuran. Gerai makanan segera harus anda kunjungi paling akhir sekali jika memang benar-benar memerlukannya.
18. KURANGKAN GULA
Kurangkan pengambilan gula kerana setiap satu sudu gula mengandungi 32 kilokalori.
19. AKTIVITI SAMPINGAN
Selain memberi peluang makanan untuk turun, kebiasaan berjalan-jalan sesudah makan akan membantu menghabiskan sebahagian kalori dari makanan itu. Setiap 25 langkah anda berjalan satu kalori akan diguna. Lebih-lebih lagi anda menaiki tangga. Tentu saja semua ini harus dilakukan dengan santai kerana perut anda baru saja terisi.
Untuk mengempiskan perut, gerakan punggung yang ringan tetapi lama akan lebih efektif. Latihan dapat dilakukan dengan alat seperti untuk permainan hula hoop. Gerakan ini mungkin boleh disamakan dengan gerakan penari gelek, dangdut atau hula-hula yang memiliki perut lebih kecil dan cantik.
Beberapa aktiviti fizikal yang mudah untuk langsing
i. Jalan cepat. Gunalah kasut yang cukup selesa dipakai agar kaki tidak melecet dan sihat
ii. Gunakan tangga untuk naik ke tingkat atas. Jika terlalu tinggi,naik tangga untuk beberapa tingkat,kemudian sambunglah denagan menaiki lif
iii. Renang adalah latihan menyeluruh. Berenang dengan laju dengan nafas yang dalam
iv. Bersenam atau peregangan, sangat baik bagi otot-otot dan sendi-sendi yang kaku. Melenturkan otot dapat melancarkan peredaran darah
v. Tunggang basikal dan kayuh perlahan-lahan tetapi dalam tempoh yang lama. Ini dapat mencantik dan merampingkan peha.
------------------------
Petua Hilangkan Bau Badan - Petua Orang Tua
Bau badan yang tidak menyenangkan amat memalukan. Bagi mereka yang mengalami masalah ini, cubalah mana-mana petua di bawah ini:
- Petua Hilangkan Bau Badan dengan Hampas Teh
Gosok hampas teh yang telah digunakan pada keseluruhan badan terutama pada bahagian kuat berpeluh seperti ketiak dan tengkuk. Biarkan selama 15 minit dan kemudian mandi. Amalkan 3 kali seminggu.
- Petua Hilangkan Bau dengan Badan Hampas kelapa
Gosok hampas kelapa yang telah digunakan pada keseluruhan badan terutama pada bahagian kuat berpeluh seperti ketiak dan tengkuk. Biarkan selama 45 minit dan kemudian bilas. Amalkan 3 kali seminggu.
- Petua Hilangkan Bau Badan dengan Beras
Ambil segenggam beras dan goreng tanpa minyak sehingga hangus. Ramas hingga hancur dan campurkan dengan sedikit air asam jawa. Gosokkan pada bahagian mudah berpeluh dan biarkan selama 10 minit. Kemudian bilas atau mandi.
- Petua Hilangkan Bau Badan dengan Tawas
Ambil seketul tawas dan gosokkan pada bahagian-bahagian badan yang mudah berpeluh setiap kali lepas mandi. Amalkan setiap hari.
atau
Campurkan tawas yang telah dijadikan serbuk dengan sedikit beras dan gaul rata. Gosokkan pada bahagian mudah berpeluh dan biarkan semalaman. Kemudian bilas atau mandi. Amalkan setiap hari sehingga berpuas hati.
- Petua Hilangkan Bau Badan dengan Daun Sirih dan Daun Nanas Muda
Rebus sama banyak daun sirih dan daun nanas muda bersama dengan sedikit garam sehingga air rebusan menjadi separuh. Minum air rebusan ini setiap hari selama seminggu dan rasailah hasilnya.
- Petua Hilangkan Bau Badan dengan Timun Muda
Kupas kulit sebiji timun muda dan basuh bersih. Gosokkan pada bahagian-bahagian badan yang mudah berpeluh setiap kali lepas mandi. Amalkan setiap hari.
- Petua Hilangkan Bau Badan dengan Serai Wangi, Daun Jambu, Daun Lengkuas dan Daun Pandan
Ambil secekak serai wangi, daun jambu, daun lengkuas dan daun pandan dan masukkan ke dalam periuk bersama dengan air sehingga terendam sepenuhnya. Rebus sehingga mendidih. Campurkan air rebusan dengan sebaldi air bersih. Jadikan air ini sebagai bilasan akhir ketika mandi. Amalkan tiga kali seminggu.
- Petua Hilangkan Bau Badan dengan Batang Pokok Kantan
Potong batang pokok kantan pendek-pendek dan tumbuk hingga lumat. Rebus hingga mendidih. Gunakan air rebusan sebagai air mandian. Bilas akhir mandian dengan air bersih biasa.
-------------------------------------
Petua Kurangkan Bau Petai
Petai sangat dikenali dengan baunya yang kuat. Berikut adalah antara cara yang boleh diamalkan untuk mengurangkan bau petai.
1) Rendamkan petai yang telah dipotong dengan air basuhan beras selama sejam. Kemudian bilas dengan air bersih dan bolehlah dimasak.
2) Masukkan terung dalam masakan ynag menggunakan petai.
Cubalah salah satu petua di bawah untuk mengelakkan percikan minyak ketika memasak:
1) Ambil sedikit daun pisang, carik-carikkan dan masukkan ke dalam kuali. Setelah daun tersebut kering dan hangus, keluarkan dan buang.
2) Masukkan sedikit garam kasar ke dalam minyak yang telah dipanaskan. Kemudian barulah menggoreng atau menumis.
Petua Lembutkan Daging ketika Memasak
Terdapat beberapa petua untuk melembutkan daging ketika memasak. Antaranya ialah:
1. Rebus daging bersama satu cawan air kelapa hingga lembut. Kemudian masak seperti biasa.
2. Tumbuk halia dan campurkan sedikit garam. Perapkan bahan ini dengan daging selama anggaran setengah jam. Kemudian bilas dengan air bersih dan masaklah daging itu seperti biasa.
3. Masukkan beberapa ketul ais ke dalam bekas yang berisi daging. Biarkan seketika kemudian cuci. Daging akan cepat empuk.
4. Rebus daging bersama akar daun pandan yang telah dicuci bersih. Kemudian masak daging seperti biasa.
5. Rebus daging bersama daun nangka atau daun betik. Kemudian masak daging seperti biasa.
Petua Hilangkan Bau Pada Bekas Makanan
Bekas menyimpan makanan yang sudah terlalu lama digunakan akan meninggalkan bau yang tidak sedap. Atasi masalah ini dengan merendamkan beberapa helai kertas suratkhabar di dalam bekas tersebut dan biarkan selama beberapa jam. Bau tersebut akan diserap oleh kertas suratkhabar dan bekas makanan anda tidak lagi berbau.
Petua Kekalkan Kesegaran Lada Merah
Untuk mengekalkan kesegaran lada merah, anda perlu menyimpannya ke dalam plastik kedap udara. Dengan cara ini lada merah akan tahan lebih lama sehingga tiga atau empat minggu tanpa layu.
Petua Bersihkan Kuali atau Periuk Hitam
Gosok bahagian kuali atau periuk yang hitam dengan kertas pasir halus. Kemudian cuci dan sental dengan berus dawai kasar diikuti berus dawai halus bersama sabun cap kapak atau sabun mandi. Bilas dengan air bersih. Hasilnya kuali atau periuk anda akan bersih tanpa jelaga dan berkilat.
Petua Kilatkan Sudu dan Garfu
Cuba salah satu cara berikut untuk mengilatkan sudu dan garfu di rumah anda:
1) Rendam sudu dan garfu ke dalam bekas berisi air bersih dan kulit buah nanas selama beberapa jam. Kemudian basuh dengan sabun pencuci pinggan seperti biasa dan bilas hingga bersih.
2) Rendam sudu dan garfu ke dalam bekas berisi air asam jawa atau asam gelugur (asam keping) selama sejam. Kemudian lap dengan kain lembut hingga kering dan sapukan dengan minyak masak. Jemur seketika dan kemudian lap dengan kain bersih.
Anda mungkin juga meminati:
Petua Menghilangkan Bau Peti Ais
Bersihkan peti ais terlebih dahulu. Tutup suis dan keluarkan semua bahan yang terdapat dalam peti ais. Gunakan tuala basah untuk lap keseluruhan bahagian dalam peti ais. Biarkan kering.
Setelah kering, masukkan semula semua bahan dalam peti ais. Letakkan sedikit esen vanilla di dalam bekas kecil tanpa penutup dan masukkan ke dalam peti ais. Hasilnya peti ais anda akan berbau vanilla yang segar.
Petua Halau Semut
Cuba petua berikut untuk menghalau semut di rumah anda:
1) Masukkan beberapa keping asam gelugur (asam keping) atau beberapa kuntun bunga cengkih ke dalam bekas gula untuk menghalau dan mengelak semut. Bau asam keping atau bunga cengkih tidak menghilangkan atau menukar rasa manis gula.
2) Siat-siat beberapa helai daun sirih dan taburkan pada kawasan laluan semut atau tempat semut berkerumun.
3) Letakkan beberapa tangkai cili kering pada timbunan gula. Ini menghindarkan semut menghampiri gula.
4) Celup kain bersih ke dalam minyak masak dan ikat kain tersebut pada tempat yang dikerumni semut seperti baling gula, keliling meja dan sebagainya.
5) Masukkan beberapa biji bawang merah ke dalam bekas gula. Tak perlu kupas kulit bawang tersebut.
6) Bakar kulit telur hingga menjadi abu. Tabur abu ini pada kawasan laluan semut atau tempat semut berkerumun.
KIRIMAN:
3@pendekarblogger.com
(newsfowarder)
Saturday, July 31, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment